KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menempuh segala cabaran sepanjang tempoh dua dekad untuk menjadi antara institusi pengajian tinggi terbaik di negara ini.
UMP yang menyambut ulang tahunnya ke- 20 tahun ini telah berjaya melahirkan ribuan graduan yang memenuhi ruang-ruang kerjaya profesional di dalam mahupun luar negara.
Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, dalam tempoh 20 tahun usianya, universiti itu juga berjaya menggapai cita-cita kecemerlangannya termasuk dalam menghasilkan bahan-bahan penyelidikan peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, kecemerlangan universiti dan graduan telah meningkatkan citra UMP sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka.
"Pengiktirafan yang diterima UMP dalam tempoh dua dekad ini membuktikan pada usia sebegini kita sudah mampu terkehadapan dan mendahului dari segenap aspek,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dr Yuserrie berkata, kejayaan yang dicapai UMP ketika ini turut disumbangkan warga kerjanya yang cekal bersama-sama mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama tempoh itu.
"Mereka semua merupakan antara penggerak dan peneraju UMP sejak dahulu hingga kini dan kejayaan yang diraih hari ini adalah kejayaan semua pihak,” katanya.
Pada sambutan ulang tahunnya yang ke-20, 16 Februari lalu,UMP mengadakan Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan 63 kakitangannya yang telah berkhidmat selama dua dekad.
Beliau berkata, pihak universiti menyanjung tinggi jasa semua warganya dan pihak lain yang bersama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan UMP selama ini.
Menyorot kembali sejarah UMP, Dr Yuserrie berkata, ia bermula dengan penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) pada 16 Februari 2002.
"Kira-kira enam tahun kemudiannya, KUKTEM dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti.
"Meniti usia ke-20 tahun penubuhannya, UMP terus komited untuk maju sebagai mercu tanda kemajuan serta kecemerlangan ilmu pengetahuan di negeri ini khasnya dan amnya.