PTD didakwa guna jawatan lulus dokumen isteri beli kenderaan

Iklan
Foto 123rf

TAWAU - Seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan meluluskan dokumen isteri bagi pembelian kenderaan bernilai kira-kira RM15,000.

Tertuduh, Mohaidy Tabin, 43, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen Tawau, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut pertuduhan, tertuduh pada 18 Oktober 2018 di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Tawau sebagai Ketua Cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Tawau telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih isterinya sebagai penyebut harga yang berjaya dalam sebut harga kenderaan jenis Toyota Fortuner.

Kenderaan itu bernilai RM 15,000 dan tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan tarikh sebutan untuk pengurusan kes pada 8 April depan.

Iklan

Tertuduh diarahkan melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang untuk mendekati saksi.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam, Jhesseny P Kang.