Pembantu rumah didera, tidak dibayar gaji diselamatkan

Iklan
Pembantu rumah warga Indonesia dipercayai didera majikannya yang berjaya diselamatkan.

KLANG - Seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia yang dipercayai didera dan tidak dibayar gaji oleh majikannya diselamatkan di sebuah kediaman di Teluk Pulai, di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd Asri Abdul Wahab berkata, operasi pada jam 8 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dari JTKSM, Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah jenis semi-D itu menemui mangsa dalam keadaan ketakutan dan tidak terurus.

Susulan itu, jelas beliau, majikan kepada mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 75 tahun ditahan untuk siasatan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati wujud elemen pemerdagangan orang selama tempoh mangsa bekerja dengan majikannya (suspek) sejak tahun 2017 sehingga ke hari ini, .

``Ini melalui beberapa indikator buruh paksa yang dikesan iaitu majikan mengakui gagal membayar baki gaji tertunggak mangsa sepanjang tahun 2021 yang dianggarkan berjumlah RM8,400.00," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, majikan juga mengakui memegang pasport mangsa sejak mula bekerja dan tidak pernah mengembalikannya sehingga kini selain mangsa mangsa tidak mempunyai sebarang permit pekerjaan.

Tambah Mohd Asri, selain memanipulasi mangsa yang dikategorikan sebagai golongan lemah dan kurang pendedahan kepada dunia luar, turut ditemui kesan luka yang agak jelas kelihatan di bahagian lengan dan kepala mangsa.

"Dipercayai mangsa pernah didera dan tidak diberikan layanan yang sepatutnya sebagai seorang pekerja," katanya.

Menurut beliau, mangsa akan ditempatkan di rumah perlindungan sementara sebelum dipindahkan ke Rumah Perlindungan Wanita Kuala Lumpur.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.