Tujuh projek mega di Kedah libat kos lebih RM3.2 bilion

Iklan
Mohamed Azmin Ali (tiga, kanan) bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (kiri) beramah mesra dengan mereka yang hadir pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Negeri Kedah dan Persekutuan Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri Wisma Darul Aman hari ini. -Foto Bernama

ALOR SETAR - Kerajaan hari ini mengumumkan tujuh projek mega untuk pelaksanaan pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat di Kedah yang membabitkan peruntukan kos lebih RM3.2 bilion dalam usaha memastikan negeri ini mencapai kemajuan setanding negeri maju lain.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tujuh projek itu merangkumi pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dekat Kulim, dua fasa projek Lebuh raya Koridor Utara sepanjang 70 kilometer, perpustakaan digital di Alor Setar, taman industri petrokimia serta pelaksanaan Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).

Iklan
Iklan

"Untuk projek lebuh raya ada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan pembinaan Lebuh raya Koridor Utara dari Bandar Baharu (Kulim) ke Sungai Petani, manakala fasa kedua pula adalah membina lebuh raya dari Bandar Baharu ke Jambatan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang dengan kos dijangka RM1.7 bilion," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan khas bersama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di sini hari ini.

Turut serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Iklan

Mohamed Azmin berkata projek membangunkan KXP itu dijangka melibatkan kos RM1.6 bilion manakala hab industri pembuatan dan logistik itu pula memerlukan kos RM300 juta serta RM15 juta untuk perpustakaan digital berkenaan dan projek taman industri petrokimia menelan belanja RM2 juta.

Mohamed Azmin berkata program KIDA itu pula membabitkan peruntukan RM30 juta setahun untuk membantu 5,482 keluarga miskin di negeri ini menerusi pemberian kad pintar yang mempunyai nilai antara RM400 hingga RM500 untuk diguna pakai golongan itu bagi membeli barangan keperluan asas.

Iklan

"Kami peruntuk RM30 juta setahun untuk program ini yang isi rumah wanita dan ibu daripada keluarga miskin ini akan mendapat kad pintar tersebut.

"Mereka hanya 'swipe' kad ini untuk membayar bekalan keperluan yang mereka beli di pasar raya, dan bayaran sebenar akan ditanggung oleh kerajaan negeri dengan dibantu kerajaan persekutuan. Kami akan laksanakan program ini tahun ini juga. Program ini pastinya akan membantu keluarga miskin terutamanya di Baling, Sik, Yan dan Kota Setar," katanya.

Mohamed Azmin juga optimis dengan projek mega untuk pembangunan prasarana berkenaan yang dapat menarik minat pelabur asing datang melabur ke negeri ini sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan berupaya meningkatkan pendapatan negeri serta rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.132 bilion sebagai peruntukan pembangunan negeri Kedah bagi tahun ini yang merangkumi 51 projek baharu dan 201 projek sambungan. -Bernama