KOTA BHARU - Kenaikan harga kos bahan mentah terutama ubi keledek tidak menjadi alasan kepada seorang ibu tunggal di Pasar Berek 12 untuk menjual kuih tradisional Kelantan iaitu cek mek molek pada harga 10 sen sebiji.
Rahimah Zakaria, 46, berkata, lebih 20 tahun kuih itu dijual dengan harga berkenaan dan baginya ia merupakan sebahagian daripada 'pelaburan' akhirat kerana mahu semua orang menikmati hidangan tersebut pada harga rendah.
"Setiap hari saya akan menjual kira-kira 20 kilogram (kg) cek mek molek.
Bagaimanapun jumlah itu akan naik sebanyak 10kg pada hari Jumaat.
"Ia kerana kuih ini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Menurutnya, rata-rata pelanggan menyifatkan harga yang ditawarkan itu luar biasa dengan kos bahan mentah ketika ini.
Katanya, reaksi balas yang diberikan itu cukup melegakan dan memberi semangat kepadanya untuk terus berniaga cek mek molek.
Ibu tunggal yang lebih mesra disapa dengan Kak Mah berkata, setiap hari gerainya akan beroperasi pada jam 8 hingga 11 pagi.
"Paling banyak belian yang pernah dibuat oleh pelanggan saya ialah bernilai RM100.
"Rata-rata pelanggan yang datang ke gerai saya dari seluruh Malaysia," katanya.