IPOH - Sebanyak 25 serangan hidupan liar ke atas manusia direkodkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sepanjang tahun 2021.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, daripada jumlah itu 15 daripadanya merupakan serangan babi hutan manakala empat melibatkan kera dan enam lagi spesis-spesis lain.
Menurutnya, terdapat dua kematian dicatatkan akibat serangan babi hutan di Perak pada tahun 2021 melibatkan pekerja ladang di Gerik dan Tanah Hitam, Chemor.
"Perhilitan Perak menerima sebanyak 2,246 aduan konflik melibatkan kacau ganggu hidupan liar tahun lalu. Jumlah aduan tersebut melibatkan 1,325 aduan kera; 776 aduan babi hutan;121 aduan beruk; 70 aduan Gajah; 25 aduan harimau belang; 10 aduan harimau dahan dan 13 aduan harimau kumbang.
"Justeru, beberapa operasi telah digerakkan bagi pembasmian melibatkan 15 operasi pembasmian kera, 17 operasi pembasmian babi hutan dan operasi pemindahan gajah," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Khamis.
Menurut beliau, menerusi operasi dijalankan, sebanyak 10,586 kera dan 1,469 babi hutan telah dilupuskan.
Beliau berkata, sementara itu satu Jawatankuasa Pengurusan Konflik Gangguan Hidupan Liar Negeri Perak ditubuhkan bagi membincangkan dan menyelaras isu-isu berkaitan konflik gangguan hidupan liar.
Menurut Mohd Akmal, jawatankuasa yang dipengerusikannya itu telah mengadakan mesyuarat pada Khamis dengan penyertaan beberapa agensi berkaitan.
Katanya, antara yang menganggotai jawatankuasa tersebut termasuklah Perhilitan Daerah, Jabatan Perhutanan, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya.
Menurutnya, hadir sama dalam mesyuarat diadakan secara hibrid fizikal dan dalam talian itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff.
Beberapa siri serangan hidupan liar dilaporkan sebelum ini di Perak melibatkan kecederaan dan ancaman keselamatan.
Pada 8 Disember lalu, Seorang lelaki orang asli cedera diserang binatang harimau kumbang dalam kejadian di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, remaja berusia 18 tahun itu dikatakan sedang mencari kayu di kawasan berhampiran rumahnya.
Bagaimanapun, keesokan harinya, Perhilitan terpaksa menembak haiwan tersebut yang menyerang anggotanya di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini pada Khamis.
Tindakan pantas itu diambil sebagai langkah keselamatan diri ketika anggota sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki orang asli berusia 18 tahun yang cedera diserang binatang buas itu.