Bayi meninggal di hospital: Ibu mahu ambil tindakan undang-undang

Iklan
Rosilawati (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Hilman Firdaus.
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Ibu kepada bayi berusia dua bulan, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi Firdaus mahu mengambil tindakan undang-undang di atas kematian anaknya itu pada 18 Februari lalu.

Rosilawati Ismail, 25, berkata, punca kematian bayinya itu masih belum diketahui namun ia dipercayai akibat daripada kecuaian pihak hospital semasa mendapatkan rawatan.

Menurutnya, berdasarkan kronologi kes, dia telah membawa anaknya ke hospital pada 5 Februari lalu akibat mengalami masalah cirit-birit dan dimasukkan ke wad kecemasan.

Iklan
Iklan

Katanya, selepas tiga jam di bahagian kecemasan, anaknya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan rapi kerana mengalami kekurangan air dan dia serta suami tidak dibenarkan melawat anak semasa di wad berkenaan.

"Pada 8 Februari, saya dimaklumkan anak saya semakin sembuh dan dipindahkan ke wad 4 untuk mendapatkan rawatan biasa iaitu memasukkan garam, air biasa dan antibiotik. Semasa di wad berkenaan, saya dibenarkan untuk menunggu dan menjaga dia.

Iklan

"Secara fizikalnya, kami lihat anak kami semakin sihat namun dimaklumkan anak kami masih perlu mendapatkan rawatan disebabkan ada lagi cirit-birit, tetapi tidak serius.

"Ketika di wad berkenaan, anak saya setiap hari diambil darah dan apabila ditanya, doktor kata ia adalah untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, semasa mendapat rawatan di wad berkenaan, anaknya didakwa diberikan susu formula namun susu berkenaan menghampiri tarikh luput.

Beliau berkata, setelah mendapatkan pengesahan doktor, mereka mendakwa ia masih boleh digunakan namun susu berkenaan dipercayai basi berdasarkan permukaan yang dapat lihat setelah dibancuh.

"Anak saya juga mengalami bintik-bintik merah di badan. Selepas itu saya bertukar jagaan dengan kakak saya dan dia memaklumkan anak saya dibawa masuk ke sebuah bilik dan selepas itu diberikan ubat tidur.

"Memang semua ini mengejutkan saya, sedangkan saya tidak dimaklumkan bahawa anak saya perlu disuntik ubat tidur. Saya tidak berpuas hati dengan kerjasama pihak hospital yang memaklumkan punca kematian anak saya masih belum ditemui dan mahu kami menunggu keputusan ujian darah dan sebagainya.

"Sekarang ini saya serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya tiada lagi kes yang sama berulang kepada orang lain," katanya.

Rosilawati memberitahu, dia dan keluarga mahukan penjelasan lanjut mengenai punca kematian anaknya memandangkan dia percaya ia berlaku akibat kecuaian pihak hospital.

Media sebelum ini melaporkan kisah kematian bayi berusia dua bulan itu yang didakwa akibat kecuaian doktor ketika memberikan rawatan.

Bagaimanapun Jabatan Kesihatan Kelantan pada Selasa memaklumkan akan menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit dalam kes kematian bayi lelaki tersebut.