Penduduk Taman Sri Muda mohon saliran air punca banjir ditutup

Iklan
Saliran di hadapan Jalan Muhibah, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini yang membawa air dari Kemuning Utama, Seksyen 32 didakwa menyebabkan banjir di kawasan tersebut.

SHAH ALAM - Penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 memohon saliran air di hadapan Jalan Muhibah 25/7, di sini yang membawa air dari Kemuning Utama 33 ditutup kerana didakwa menjadi punca bencana banjir sejak tahun 2019.

Pengerusi Penduduk Taman Sri Muda Zon D, Andrew De Silva berkata, beberapa aduan pernah dibuat kepada pihak berkuasa sejak tahun 2020 setelah peristiwa banjir melanda kawasan tersebut pada Oktober 2019.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Andrew berkata, tiada respon dan tindakan diambil oleh pihak berkenaan untuk mengatasi masalah terbabit.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu apabila sistem saliran di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini tidak dinaiktaraf selepas pembangunan pesat dilaksanakan di kawasan perumahan Kota Kemuning dan Kemuning Utama.

Iklan

"Pada tahun 2007, tiada pembangunan signifikan di kawasan ini, tapi bila pembangunan (Kemuning Utama dan kawasan sekitar) wujud pada tahun 2019, sistem saliran tidak dinaiktaraf dan menyebabkan banjir berlaku.

"Bila kami dilanda banjir pada Oktober tahun 2019, kami jalankan tinjauan sendiri dan mendapati itulah puncanya (limpahan air dari Kemuning Utama)," katanya menerusi satu sidang media di sini pada Khamis.

Andrew menunjukkan peta kawasan sekitar Taman Sri Muda dan lokasi sekitar bagi menjelaskan punca banjir di kawasan tersebut.

Iklan

Dalam pada itu, Andrew turut mendekati pihak Majlis Peguam Malaysia pada Januari lalu untuk mendapatkan nasihat dan bantuan bagi menutup saliran tersebut setelah bencana banjir melanda pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak berkenaan memerlukan laporan teknikal untuk menyokong idea penduduk bagi perbincangan dengan agensi berkaitan untuk mengambil sebarang tindakan.

"Kami memerlukan seorang pakar dalam bidang pengurusan air dan saliran untuk mengeluarkan satu laporan teknikal bagi menyokong penutupan saliran berkenaan, terutama dari segi jumlah air yang masuk ke kawasan Taman Sri Muda semasa hujan.

"Kami harap pihak berkuasa memandang serius perkara ini kerana saliran air dari Kemuning Utama membawa limpahan air yang banyak," katanya.