JOHOR BAHRU - Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Maharani, Tiram, Puteri Wangsa dan Stulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Antara calon yang bakal bertanding mewakili PBM dalam pilihan raya pertama yang disertai parti tersebut adalah Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon di kerusi DUN Puteri Wangsa.
Calon lain adalah Mohd Azmi Ali, 51, di DUN Tiram dan PBM juga akan mengetengahkan dua calon muda iaitu Muhammad Hanis Asmui Md Salleh, 28, di DUN Maharani serta Muhammad Saiful Bahari Sahari, 33, di DUN Stulang.
Timbalan Presiden PBM Haniza Mohd Talha ketika Majlis Pengumuman Calon PBM di sini pada Khamis berkata, parti itu pada awalnya berhasrat bertanding hanya dua kerusi namun perbincangan kepimpinan PBM kemudian mengambil keputusan untuk bertanding di empat kerusi.
"Selepas perbincangan pimpinan PBM dan tinjauan sentimen di lapangan, kami memutuskan untuk bertanding di empat kerusi.
"Ciri-ciri calon yang dipilih adalah telah menabur bakti di kawasan yang ditandingi, menitikberatkan semangat kepelbagaian kaum, berintegriti serta bebas rasuah," katanya.Dalam pada itu, Haniza berkata, sebelum mengambil keputusan untuk memasuki gelanggang PRN ini, parti itu telah membuat tinjauan untuk mengenal pasti parti yang akan bertanding serta sentimen rakyat kepada parti baharu.
"Kami sangat realistik. PBM mendapati pengundi sudah dapat menilai tindak-tanduk parti lama dan kami berharap pengundi di Johor bijak dalam membezakan antara kaca dan permata," katanya ketika ditanya tentang keyakinan PBM untuk menghadapi PRN pada 12 Mac ini.
PBM adalah parti baharu yang didaftarkan pada 27 Oktober tahun lepas dan akan bertanding dalam pilihan raya buat pertama kalinya dalam PRN Johor ini. - Bernama