Isu agama, perkauman masih dijadikan bahan kempen

Iklan
Mohammad Agus

SHAH ALAM - Isu agama dan perkauman masih digunakan sebagai bahan kempen awal parti politik terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus merupakan pendekatan serta strategi lama yang membosankan.

Penganalisis politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, para pemimpin memecahbelahkan masyarakat dengan dua sentimen tersebut malah dianggap hipokrit apabila mereka berjanji dalam kempen masing-masing untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu.

Iklan
Iklan

"Banyak isu lain yang boleh diangkat sebagai bahan kempen antaranya kenaikan harga barang, kos hidup, pengangguran, peluang pekerjaan, prosedur operasi standard (SOP) dua darjat, kemiskinan, pendidikan dan rasuah.

"Walaupun banyak isu, saya bosan dengan kempen awal PRN ini kerana masih dengan pendekatan dan strategi lama, politik kaum dan politik agama.‬‬ Kedua-dua ditunggang semahunya.

Iklan

"Parti pembangkang mengkritik hebat kerajaan tetapi mesejnya tidak meyakinkan. Bagaimana boleh meyakinkan jika sesama pembangkang pun tidak sepakat? Menghairankan lagi, walaupun peluang untuk menang tipis, masih berebut untuk bertanding banyak kerusi," katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Mohammad Agus berkata, penerimaan rakyat Johor terhadap kempen seperti itu masih menjadi persoalan malah realitinya barisan parti pembangkang tidak bersatu dan kerajaan pula tidak kompeten.

Iklan

"Kempen Barisan Nasional pula berjanji untuk menyelesaikan masalah rakyat. Bagi meyakinkan mereka, maka berkempenlah dengan data separuh masak, Rancangan Malaysia Ke-12 memacu negara ke depan, ekonomi pulih, dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka akan meningkat naik tahun ini.

"Saya selalu bertanya, mengapa kematangan politik kita tidak berubah? Mengapa takut untuk berubah? Kos hidup meningkat, rakyat susah, miskin dan tertekan. Semoga pengundi Johor memilih untuk membawa perubahan pada politik negara," ujarnya.

Dalam pada itu Mohammad Agus turut mempersoalkan SOP kempen PRN Johor yang perlu memohon permit daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

"Saya sedih melihat SOP kempen kita, bukan memajukan demokrasi tetapi memundurkan demokrasi. Hendak maju bagaimana jika untuk kempen semasa PRN pun masih perlu memohon permit polis?

"Tidak cukupkah sekadar memberitahu pihak polis tentang tarikh dan tempat kempen? Ini sudah zaman ICT dan syarat untuk berkempen kita bertolak belakang, bukan ke depan," ujarnya.