SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) akan menganjurkan Kejohanan Malaysia Volleyball League 2022 bermula dari 9 Mac hingga 13 Mac 2022 di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, di sini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kejohanan peringkat kebangsaan tersebut melibatkan penyertaan lapan pasukan dari Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kejohanan tersebut mendapat penyertaan daripada anggota Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Hadiah keseluruhan ditawarkan berjumlah RM42,000 iaitu johan kejohanan akan memenangi hadiah wang tunai RM20,000; naib johan sebanyak RM10,000; tempat ketiga RM8,000 dan tempat keempat sejumlah RM4,000.
"Pemenang pada tempat johan, naib johan dan tempat ketiga masing-masing turut akan menerima pingat kemenangan," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Shahrin berkata, penganjuran program tersebut untuk melahirkan generasi belia yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan, selain menggalakkan gaya hidup sihat pasca Covid-19 dan memperkenalkan Shah Alam sebagai bandar raya sukan.
Katanya, MBSA juga menyasarkan kejohanan tersebut mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar untuk diketengahkan di kejohanan atau pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.