Kontak rapat tidak perlu kuarantin jika sudah terima dos penggalak

Iklan
Khairy Jamaluddin - Foto KKM

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Individu berumur 18 tahun ke atas yang telah menerima dos penggalak dan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 tidak perlu lagi menjalani Perintah Pemantauan dan Pemerhatian (HSO) sekiranya tidak bergejala.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu tersebut bagaimanapun perlu menjalani ujian RTK kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir pendedahan kepada kes indeks.

Iklan
Iklan

"Protokol ini berkuat kuasa pada 1 Mac ini," katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.

Menurutnya, sekiranya kontak rapat itu menunjukkan gejala pada hari pertama, individu tersebut perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

Iklan

"Jika ujian RTK kendiri menunjukkan keputusan positif, ia perlu dilaporkan kepada MySejahtera untuk dinilai dan pengendalian individu tersebut adalah berdasarkan prosedur pengurusan kes positif sedia ada," katanya.

Beliau berkata, bagi individu yang telah lengkap dua dos vaksin, mereka perlu menjalani HSO selama lima hari sama ada bergejala atau tidak.

Iklan

"Bagi mereka yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi, tempoh HSO adalah tujuh hari," katanya.

Minggu lalu, Khairy mengumumkan petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat dan tidak bergejala tidak perlu menjalani isolasi.

Pekeliling mengenai perkara itu telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 15 Februari lalu.