IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.11 juta dalam empat serbuan berasingan di Ipoh dan Batu Kurau baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Saprin berkata, sebanyak 1.38 juta batang rokok dan 196.67 liter minuman keras dirampas dalam serbuan yang dijalankan pasukan penguatkuasaan sejak 28 Januari lalu.
"Tiga serbuan yang dijalankan di premis perniagaan dan kediaman di Ipoh pada 28 Januari, 14 Februari dan Selasa lalu berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan dua lelaki berusia 40 tahun.
"Kesemua rokok dan minuman keras membabitkan nilai termasuk cukai berjumlah RM105,000 yang disyaki belum lulus kastam itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut Mohamad, pasukannya turut berjaya membongkarkan taktik sindiket yang menyimpan lebih 1.2 juta batang rokok seludup di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Tersusun Batu 19 ½, Batu Kurau pada Selasa minggu lalu.
Katanya, serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu berjaya menemukan rokok pelbagai jenama dengan nilai dianggarkan lebih RM1 juta yang disimpan di atas dua lori di kebun berkenaan.
"Pasukan cuba untuk membawa eksibit keluar dari lokasi namun tidak berjaya kerana laluan berbukit curam dan licin selain suasana hujan lebat dan gelap.
"Pasukan bantuan tiba di lokasi pada jam 2 pagi. Eksibit dibawa keluar dengan menggunakan pacuan empat roda secara bergilir-gilir hingga selesai pada jam 9 pagi," katanya.
Mohamad berkata, kesemua kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.