PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tarikh pembukaan sempadan negara sudah ditetapkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, pengumuman mengenai tarikh tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Kita sudah ada tarikh, biar PM umumkan," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.
Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan agar kerajaan membuka pintu sempadan pada 1 Mac ini, namun Ismail Sabri berkata ia tidak berlaku kerana KKM memerlukan masa untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP).
Khairy kemudiannya dilapor berkata, pembukaan pintu sempadan negara dijangka akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.
Penutupan sempadan dibuat kerajaan pada 18 Mac 2020, dua bulan selepas negara merekodkan kes pertama Covid-19.