SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil alih Sitamas Environmental System Sdn Bhd (Sitamas) melalui pembelian bernilai RM9 juta.
Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, Sitamas mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pengurusan sisa pepejal sampah industri, komersial dan institusi.
Menurutnya, pengambilalihan secara 100 peratus syarikat itu dilihat langkah positif buat KDEBWM melengkapkan kitaran pengurusan sisa pepejal di Selangor.
"Pembelian syarikat ini juga selari dengan hasrat KDEBWM memastikan pengurusan sampah di Selangor menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.
"Sebelum ini KDEBWM menguruskan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam tetapi kita melihat ada elemen penghasilan sampah banyak datang dari kilang-kilang di Selangor.
"Pemilikan Sitamas ini dilihat sebagai satu solusi bagi menyelesaikan isu pembuangan serta longgokan sampah haram yang merupakan satu cabaran besar buat KDEBWM dan pihak berkuasa tempatan," katanya dalam sidang akhbar pengambilalihan Sitamas oleh KDEB di Menara Bank Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pengambilalihan tersebut turut disertakan dengan pengambilan lebih 100 kakitangan beserta aset (jentera) syarikat berkenaan.
Tambahnya, syarikat tersebut memiliki lebih 1,000 pelanggan yang 70 peratus daripadanya berada di Selangor dan 30 peratus lagi di Johor.
Katanya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan ke atas syarikat tersebut melalui penjenamaan semula beserta mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
"Antaranya sasaran mengembangkan perniagaan dengan penambahan kepada 2,000 pelanggan pada tahun ini atau setidaknya jumlah pendapatan Sitamas dapat ditingkatkan.
" Pada masa sama kita akan perkemaskan operasi serta mengubah imej korporat serta menjana idea-idea baharu yang lebih segar untuk meningkatkan keyakinan pelanggan," katanya.