Hadkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19: CAP

Iklan
Permintaan yang tinggi kit ujian Covid-19 mendorong sesetengah pihak bertindak menjual kit ujian palsu atau tidak diluluskan MDA. - Foto Bernama

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Khamis meminta kerajaan mengehadkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dengan hanya di farmasi dan kedai-kedai runcit yang sah sahaja bagi memudahkan pemantauan Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan (MDA).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, penularan dan peningkatan kes Covid-19 menyebabkan permintaan kit ujian kendiri melonjak namun pengguna mengalami kesukaran untuk mengenal pasti kesahihan kit ujian itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permintaan yang tinggi kit ujian Covid-19 ini telah mendorong sesetengah pihak bertindak menjual kit ujian palsu atau tidak diluluskan MDA.

"CAP menggesa kerajaan supaya membatasi penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dengan mengehadnya kepada farmasi dan outlet runcit yang sah. Kemudahan membelinya di pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak akan menyulitkan kerja pemantauan oleh pihak MDA," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Katanya, hasil ujian kit yang negatif dan palsu boleh membuatkan seseorang itu leka yang sebaliknya membantu penularan virus tersebut dan tidak berpeluang mendapatkan rawatan perubatan di peringkat awal.

Beliau berkata, tinjauan CAP mendapat kit ujian Covid-19 mudah didapati di farmasi, kedai serbaneka, kedai runcit dan stesen minyak selain dijual secara meluas dalam talian.

Iklan

Mohideen berkata, walaupun MDA telah mengenal pasti senarai 12 syarikat dan produk keluaran yang mendapat kelulusannya, pengguna mengalami kesulitan untuk mengesahkannya ketika membeli.

"Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti peralatan diluluskan oleh MDA, CAP mencadangkan ciptaan logo umum digabungkan dengan kod QR yang mudah dikenali pengguna dan sekiranya mereka (pengguna) mahu, mereka boleh mengimbas kod QR itu bagi mendapatkan butir-butir produk berkenaan," katanya.

Tambahnya, sistem semasa yang membawa nombor siri MDA tidak begitu membantu kerana ia mengambil masa untuk memeriksa bungkusan berbanding dengan logo jelas dapat dilihat. - Bernama