Tuntut penjelasan Kementerian Pendidikan mengenai pengiktirafan UEC

Iklan
Rashidah Ramli

SHAH ALAM - ADUN Parit Raja, Rashidah Ramli menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berhubung kewajaran meletakkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat lulus untuk diterima masuk ke program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (PISMP) dan kemudiannya diserap masuk ke sektor kerajaan.

Katanya, kementerian tersebut sebelum ini mengambil keputusan untuk mengkaji dan mengumpul fakta mengenai sijil pendidikan tersebut sebelum ia diiktiraf.

Iklan
Iklan

Menurutnya, difahamkan juga telah diwujudkan satu jawatankuasa bagi mengkaji UEC sebelum ia diterima pakai secara meluas seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Julai tahun lalu.

"Oleh yang demikian, saya mahu meminta penjelasan mengenai kewajaran meletakkan UEC sebagai syarat lulus untuk diterima masuk ke program ijazah berkenaan dan sistem perjawatan kerajaan.

Iklan

"Ini kerana tiada lagi sebarang keputusan rasmi yang dilakukan kerajaan mengenai isu pengiktirafan sijil UEC. Maka Kementerian Pendidikan harus menerangkan yang fakta sebenar mengenai perkara ini," katanya.

Menurut Rahisdah, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nee Ching sebelum ini telah menguar-uarkan satu iklan berkaitan PISMP tetapi pada masa yang sama telah meletakkan UEC sebagai syarat lulus untuk diterima masuk ke program ijazah itu.

Iklan

Menerusi laman sesawang program sarjana muda itu, antara syarat utama adalah wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selain lulus subjek Sejarah, sebagai syarat akademiknya.

Program ijazah itu juga meletakkan syarat tambahan yang mana membenarkan lulusan UEC dengan sekurang-kurangnya tiga gred kepujian pada peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC - SML), turut digalakkan juga memohon program berkenaan.