MOSCOW - Rusia pada Khamis mengesahkan tentera mereka telah membedil lebih 70 sasaran tentera termasuk 11 lapangan terbang di Ukraine.
"Kira-kira 74 kemudahan tentera di Kiev berjaya dimusnahkan di bawah operasi tersebut," kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Igor Konashenkov.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ia termasuk tiga pos perintah dan 18 stesen radar S-300 dan sistem misil antipesawat, Buk-M1.
"Sebuah helikopter tentera Ukraine dan empat dron juga ditembak jatuh," jelasnya lagi sambil menambah kumpulan pemisah kini meneruskan serangan mereka dengan bantuan sokongan udara daripada tentera Rusia.
Tambahnya lagi, mereka kini berdepan dengan 'kumpulan penentang bersenjata nasionalis' yang melancarkan penentangan terhadap kempen tersebut.
Beliau turut memaklumkan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu telah mengarahkan tentera Rusia supaya 'melayan pasukan tentera Ukraine dengan hormat'.
Operasi menyasarkan kemudahan ketenteraan Ukraine itu dibuat selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan 'operasi khas' pada jam 5.40 pagi (waktu tempatan). - AFP