PENYANYI Jatuh Bangun, Haqiem Rusli berkata tiada sebarang tindakan undang-undang mahupun dilaporkan kepada pihak polis mengenai isu gambar miripnya.
Jelasnya, isu kononnya tidur bersama seorang perempuan yang tersebar di Twitter baru-baru ini hanyalah suntingan dan harap orang awam tidak cepat melatah.
"Itu photoshop... sekarang banyak je gambar disunting dan harapan saya jangan mudah percaya.
"Pada awalnya saya nak buat laporan polis tetapi fikir balik kalau tak salah kenapa saya nak buat?
"Lama-kelamaan perkara ini akan lenyap juga," ujarnya.
Sungguhpun terus dihujani pelbagai ujian dan dugaan sebagai artis, Haqiem bersyukur dan bertuah kerana keluarga sentiasa memahami situasi yang dialaminya.
Haqiem, 20, ditemui pada majlis pelancaran Samsung Galaxy A yang turut mengumumkan penyanyi itu sebagai skuad Galaxy A bersama Nabila Razali dan Ismail Izzani.
Sehubungan itu Haqiem berkata, akan menjaga reputasi dirinya.
"Alhamdulillah syukur kerana diberikan kepercayaan kepada saya sebagai duta dan ini merupakan produk pertama.
"Insya-ALLAH tahun ini saya nak bersih dari sebarang kontroversi seperti sebelum ini," jelasnya.