KUALA LUMPUR - Deruan enjin jet pejuang dan pelbagai aset ketenteraan mencetuskan kebimbangan penuntut Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Rusia.
Perkara itu diakui Diyana Natasha Zaini, 26, pelajar tahun lima jurusan kedoktoran di Kursk State Medical University.
Mana tidaknya, bandar Kursk yang didiaminya hanya sekitar 100 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine, tidak sampai dua jam perjalanan menaiki kereta.
"Walaupun kehidupan harian tidak banyak berubah, pergi kelas... naik bas... cuma kami sedikit takut kerana sekarang kerap dengar bunyi jet, bas dan lori tentera keluar masuk.
"Itu yang membezakan kehidupan kami ketika ini berbanding sebelum ini.
"Nak cakap takut, memang takut sebab kami (di Kursk) sempadan Ukraine sangat dekat sekitar dua jam perjalanan.
"Sekiranya apa-apa berlaku nanti, sudah tentu akan terkesan kepada kami," katanya ketika ditemu bual Awani secara maya.
Selain keselamatan nyawa, antara perkara yang dibimbangi Diyana Natasha adalah baki setahun penganjiannya di negara itu.
"Keadaan sekarang ini memang saya bimbang. Kelas boleh diteruskan atau dalam talian sahaja? Masih di sini (Rusia) atau perlu pulang ke Malaysia?
"Kalau perlu balik ke Malaysia, sebagai pelajar tahun kelima, rasa macam sia-sia pula sebab baru datang semula ke Kursk selepas pandemik.
"Kalau kena balik Malaysia, rasa macam pengajian saya memang semuanya di Malaysia, bukan di Rusia. Taklah merasa tahun akhir di sini," katanya.
Dia pada masa sama berharap Kedutaan Malaysia di Moscow dapat memberi maklumat sewajarnya kepada rakyat Malaysia di negara itu sekiranya terdapat sebarang perkembangan terkini.
Perkara sama turut diakui Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, 20, pelajar tahun ketiga jurusan Perubatan Umum di Volgograd State Medical University.
Walaupun jaraknya lebih 300 kilometer dari sempadan Ukraine, namun deruan enjin jet pejuang turut didengarinya.
"Pagi ini, rakan-rakan saya ada maklumkan mereka mendengar bunyi jet pejuang. Boleh dengar dengan jelas.
"Pada hari ini juga, tempat saya Volgograd, mengumumkan lapangan terbang ditutup dan semua penerbangan tidak dibenarkan," katanya.
Ahmad Ashraff Haiqal turut akui pihak kedutaan telah memberi beberapa nasihat sekiranya situasi krisis tersebut memuncak.
"Mereka (kedutaan) meminta kami bersedia dengan barang-barang yang penting, sekiranya perkara makin serius, kami boleh terus keluar dari sini.
"Perkara ini memang merisaukan kami, tetapi tidaklah sampai menjejaskan pembelajaran kami, masih boleh pergi ke kelas macam biasa," katanya.
Jelasnya, dia dan rakan-rakan turut mengambil maklum segala perkembangan semasa yang dilaporkan media untuk mereka lebih bersiap siaga sekiranya situasi bertambah meruncing. - Awani