Lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan TNB dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion
Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmen membiayai pelajar dari keluarga berpendapatan terendah untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian menerusi tajaan 1,760 lagi Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) bagi tahun 2021.
Tajaan ini diteruskan dalam suasana sukar susulan pandemik Covid-19 bagi menyokong usaha meningkatkan kemahiran modal insan.
Penyerahan Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kepada para pelajar bagi sesi pengambilan 2021 itu disempurnakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Menurut Hasan, sejak MyBF diperkenalkan pada 2018, lebih 6,800 orang pelajar dari golongan B40 menikmati pembiayaan pengajian masing-masing meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tamat pengajian.
Selain MyBF, katanya, TNB melalui YTN yang ditubuhkan pada 1993, turut meneruskan komitmen pemberian biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada para pelajar pengajian tinggi.
Sehingga kini, lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion.
"Sebagai warga korporat prihatin, TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Penawaran Dermasiswa MyBF adalah strategi serampang dua mata iaitu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang tidak berkemampuan sekali gus membasmi masalah kemiskinan.
"Membangunkan modal insan negara melalui penyediaan peluang pendidikan adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat TNB, selain daripada program-program berkaitan sosio-ekonomi, alam sekitar dan sukan,”ujarnya.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah YTN, Datuk Ir. Dr. Ibrahim Hussein.
Menurut Hasan, Dermasiswa MyBF dikhaskan kepada para pelajar daripada keluarga B40 tanpa sebarang ikatan atau pun bayaran balik.
"Surat Tawaran MyBF dikeluarkan bersekali dengan Surat Tawaran ke IPTA oleh institusi masing-masing bagi memastikan isu kewangan bukan masalah utama pelajar untuk memulakan pengajian.
"Adalah diharapkan agar inisiatif TNB ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah bagi menampung kos pengajian, malah kemudiannya membolehkan anak-anak mereka membangunkan kerjaya yang lebih baik demi masa depan diri dan keluarga serta masyarakat,” katanya.
Program MyBF bukan sahaja memberi bantuan dalam bentuk kewangan tetapi juga membangunkan kompetensi pelajar bersama-sama nilai dan budaya murni yang mementingkan kesejahteraan sejagat termasuk dalam aspek penjagaan alam sekitar.