GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Hanya beberapa kawasan dan bangunan tinggi di Pulau Pinang dilaporkan merasai gegaran susulan gempa bumi di Utara Sumatera, Indonesia pada jam 9.39 pagi Jumaat.
Gempa berukuran 6.2 skala Ritcher itu turut dirasai kakitangan yang bertugas di Bangunan Persekutuan di Jalan Anson di sini.
Azmah Ibrahim, 39, berkata, dia yang bertugas di tingkat lapan bangunan tersebut merasai gegaran namun tidak kuat.
Katanya, gegaran itu hanya dirasai dalam beberapa saat sahaja.
"Saya terasa pening dan nampak papan tanda yang tergantung di pintu dan pokok hiasan di pejabat bergoyang.
"Rakan saya yang berada di sebelah turut mengadu perkara yang sama seperti yang saya alami," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Katanya lagi, tiada arahan mengosongkan bangunan dikeluarkan dan semua kakitangan kekal berada di bangunan tersebut.
"Tiada yang lari keluar dari bangunan kerana kejadian amat pantas, dalam beberapa saat sahaja. Selepas itu, kami bekerja seperti biasa.
"Rasanya ini kali kedua, yang mana kali pertama adalah beberapa tahun lalu, sama juga gegaran susulan gempa di Sumatera," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, bomba belum menerima sebarang panggilan kecemasan setakat ini.
"Sehingga kini, kita belum terima sebarang panggilan kecemasan atau aduan mengenai gegaran.
"Bagaimanapun, kita sentiasa memantau situasi semasa kerana difahamkan, ada makluman mengatakan beberapa kawasan berlaku gegaran namun berskala kecil," katanya ketika dihubungi.
Di SEREMBAN, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) menerima sembilan laporan gegaran di negeri ini, susulan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia pada Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi JBPMNS, Zamhuri Zainnordin berkata, gegaran didapati berlaku antara tiga ke lima saat namun tiada kecederaan dilaporkan.
Bagaimanapun katanya, terdapat dua bangunan mengalami rekahan kecil iaitu Hospital Pakar KPJ Seremban dan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.
"Laporan diterima antaranya di Wisma Persekutuan, Wisma Negeri, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan, Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan dan Bangunan Zurich Insurans.
"Selain itu Akademi Imigresen Teluk Kemang, Sekolah Kebangsaan Senaling di Kuala Pilah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hassan Azhari Abu Bakar, 57, mendakwa kerusi bergerak dan seakan-akan rasa berbuai sewaktu berlaku gegaran sekitar jam jam 9.50 pagi.
Beliau berkata, keadaan tersebut dirasainya sewaktu berada di ruang pejabat di tingkat 5, Menara 1 DBKL.
Menurutnya, keadaan itu berlaku hanya beberapa saat namun tidak menyangka gegeran itu disebabkan kesan gempa bumi 6.2 magnitud di Utara Sumatera, Indonesia.
"Semasa kejadian saya tidak syak apa-apa kerana tiada pengalaman seperti ini jadi hanya buat seperti biasa sahaja.
"Penggera tidak berbunyi dan pekerja juga tiada yang kosongkan bangunan kerana gegaran hanya sekejap dan mungkin tidak seteruk kawasan-kawasan lain," katanya.
Seorang pekerja swasta, Nor Hidayah Zainal, 36 berkata, ketika kejadian dia berada di dalam tren dan dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Rasa bergoyang, kepala rasa sakit dan seperti mahu muntah. Ketika itu saya tak tahu situasi itu disebabkan kesan gempa bumi di negara jiran.
" Saya hanya mengetahuinya selepas rakan sekerja turut berkongsi keadaan gegaran di pejabat di Jalan Tun Razak," katanya.
Seorang Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rosidah Said, 44, memaklumkan, dia bersama rakan sekerja keluar daripada bangunan Angkasapuri selepas merasai gegaran dan melihat kerusi meja dalam keadaan bergoyang.
"Kami masing-masing ketika itu sedang buat kerja dan jadi tertanya-tanya apabila melihat keadaan itu.
"Kami ambil inisiatif mengosongkan bangunan walaupun loceng penggera tidak berbunyi dan sebaik turun ke bawah saya dapati sudah ramai kakitangan berkumpul di luar bangunan.
Kami menunggu kira-kira 20 minit sebelum bahagian pengurusan membenarkan kami masuk semula ke bangunan," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, penduduk di beberapa kawasan di negeri ini digemparkan dengan gegaran kecil.
Difahamkan, gegaran berpunca daripada kejadian gempa bumi berskala 6.2 magnitud di Utara Sumatera, Indonesia.