MALAYSIA masih belum berhasrat untuk menarik diri daripada menjadi tuan rumah pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini meskipun angka jangkitan Covid-19 semakin meningkat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun tidak menolak keputusan mungkin berlaku sekiranya penularan jangkitan Covid-19 semakin serius.
Justeru katanya, bagi memastikan perjalanan saingan tersebut berjalan lancar, beliau menggesa agar semua pihak terlibat mematuhi SOP ditetapkan kerana dibimbangi sekiranya tidak dipatuhi berkemungkinan akan berlaku penularan virus tersebut sekali gus akan menyebabkan segala aktiviti sukan kembali disekat.
"Saya berharap agar orang ramai kekal menjaga SOP yang ditetapkan dan juga memperketatkan SOP secara kendiri supaya kita dapat melawan penularan wabak ini dan segala aktiviti sukan dapat diteruskan.
"Ia cukup penting kerana saya bimbang kerana jika berlaku peningkatan terlalu mendadak maka perkara pertama yang akan disekat adalah aktiviti sukan, gimnasium ditutup sebagainya.
"Jadi saya amat berharap orang ramai faham perkara ini dan jika kita nak terus kekal beriadah, bersukan dan sebagainya SOP yang telah ditetapkan ini perlu diikuti dan kita perketatkan dengan SOP kendiri,” katanya ketika ditemui pemberita ketika Majlis Pelancaran Buku Datuk Shukor Salleh - Jeneral Padang di Wisma FAM, pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak memberi jaminan buat mana-mana negara yang memenangi bidaan sebagai tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 jika gagal menepati syarat yang ditetapkan badan induk bola sepak Asia itu sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor Paul berkata, terdapat beberapa negara yang bertanding dalam aksi kelayakan itu bersedia menjadi hos sekiranya enam negara yang terpilih gagal menepati syarat ditetapkan.
Untuk rekod, skuad kebangsaan yang berada pada ranking ke-154 dunia diundi dalam Kumpulan E bersama pasukan di ranking ke-89 dunia, Bahrain; pasukan ke-134 dunia, Turkmenistan dan Bangladesh (186).
Dalam pada itu Ahmad Faizal berpandangan, kejayaan Malaysia memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi pusingan kelayakan merupakan satu kelebihan buat pasukan kebangsaan
Justeru, beliau menggesa agar Harimau Malaya menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin dalam misi layak secara merit buat kali pertama ke Piala Asia.
"Tentunya kalau pasukan kita bermain di laman sendiri ini, ia akan beri kelebihan kepada kita kerana dapat bermain di hadapan penyokong sendiri.
"Sudah tentu semangat pemain-pemain kita tentunya lebih berbeza berbanding bermain di luar yang akan jadi lebih kuat dan ia satu kelebihan buat pasukan. Jadi saya harap pasukan kita akan capai kejayaan dalam kejohanan tersebut,” katanya.