Sentimen perniagaan di Malaysia melonjak ke trajektori positif

Iklan
Mohd Uzir

SHAH ALAM - Keyakinan perniagaan kembali optimistik menjelang suku pertama 2022 dengan petunjuk keyakinan +7.6 peratus daripada -0.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, sentimen perniagaan di Malaysia itu melonjak ke trajektori positif buat pertama kali sejak sembilan suku tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Katanya, dalam kesemua sektor yang disurvei, sektor perkhidmatan, industri dan perdagangan borong dan runcit menjangkakan prestasi perniagaan yang lebih baik pada suku tahun pertama 2022.

"Keyakinan perniagaan bagi sektor perkhidmatan melonjak ke trajektori positif dengan +11.1 peratus pada suku tahun rujukan daripada -1.3 peratus yang dicatatkan pada suku tahun yang lalu.

Iklan

"Sektor industri pula menggambarkan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan petunjuk keyakinan +12.2 peratus berbanding +3.6 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumat.

Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Pertama 2022, berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan dan memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

Iklan

Mohd Uzir berkata, sektor perdagangan borong dan runcit turut menjangkakan prospek perniagaan yang lebih cerah dengan +4.0 peratus berbanding +3.3 peratus pada suku tahun terdahulu.

"Sebaliknya, sektor pembinaan terus pesimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan -40.4 peratus pada suku tahun pertama 2022,” katanya.

Berkenaan dengan hasil kasar, beliau berkata, 33.5 peratus responden menjangkakan peningkatan bagi suku tahun pertama 2022, manakala 27.7 peratus menjangkakan penurunan hasil kasar yang seterusnya mendorong kepada imbangan bersih +5.8 peratus.

Jelasnya, 38.8 peratus lagi responden menjangkakan hasil kasar mereka tidak berubah berbanding suku tahun keempat 2021.

"Dari segi trend pekerjaan, 70.8 peratus pertubuhan merancang untuk mengekalkan tenaga kerja mereka pada suku tahun rujukan. Kira-kira 18.2 peratus pertubuhan berhasrat untuk mengambil lebih ramai tenaga kerja, manakala 11.0 peratus meramal untuk mengurangkan tenaga kerja mereka yang mendorong imbangan bersih +7.2 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, prospek perniagaan bagi separuh pertama tahun 2022 terus bertambah baik dengan imbangan bersih +18.9 peratus berbanding +24.1 peratus yang dicatatkan untuk tempoh Oktober 2021 hingga Mac 2022.

Menurutnya, tinjauan positif tetsebut disokong oleh sektor perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan dan industri yang optimistik terhadap prestasi perniagaan mereka.

"Perdagangan borong dan runcit meramalkan prospek perniagaan yang menggalakkan bagi separuh pertama tahun 2022 dengan imbangan bersih +27.0 peratus berbanding +35.1 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

"Pada masa sama, sektor perkhidmatan pula menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +25.1 peratus daripada +24.3 peratus. Sektor industri juga meramalkan prestasi perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +17.7 peratus bagi Januari hingga Jun 2022.

"Sebaliknya, sektor pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -30.8 peratus berbanding -18.4 peratus yang dicatatkan sebelum ini,” katanya.