PRN Johor: Belum ada pengumuman calon MB daripada Pejuang

Iklan
Mukhriz Mahathir

MUAR - [DIKEMAS KINI] Masih terlalu awal untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan sebarang calon Menteri Besar sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Buat masa ini, kami (Pejuang) masih tidak membuat pengumuman sebegitu (calon Menteri Besar) kerana saya fikir ia terlalu awal kerana kita perlu memenangi pilihan raya (negeri) dahulu sebelum seseorang boleh dilantik menjadi Menteri Besar,” katanya kepada pemberita pada program Sarapan Pagi Ziarah Pejuang di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi mengatakan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh merupakan calon Menteri Besar Johor sekiranya parti itu memenangi pilihan raya negeri.

Pada Khamis, Pejuang mengumumkan akan bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor dengan meletakkan Shahruddin yang juga anggota Parlimen Sri Gading dan bekas Timbalan Menteri Kerja Raya sebagai calon di kerusi DUN Machap.

Iklan

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau melihat pengalaman Pakatan Harapan (PH) sewaktu bertanding pada PRN Melaka November lepas yang hanya memfokuskan kepada kemenangan seorang calon sahaja.

"Saya belajar daripada pengalaman Pakatan Harapan sewaktu bertanding di PRN Melaka yang ditumpukan kepada seorang saja sebagai Ketua Menteri, akhirnya dia seorang saja yang menang, yang lain tidak.

Iklan

"Pengalaman saya di Kedah juga begitu...walaupun dinamakan calon Menteri Besar, saya wajib berkempen untuk rakan-rakan lain. Tidak guna dinamakan saya seorang saja tetapi akhirnya jikalau menang seorang pun tak boleh jadi MB (Menteri Besar), sebaliknya jadi ketua pembangkang. Itu bukan minat kami,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap tawaran yang diberikan oleh parti itu kepada rakyat Johor pada PRN tersebut harus diyakini walaupun Pejuang adalah parti baharu dan tidak mempunyai rekod pencapaian memimpin negeri.

Esok (Jumaat) adalah hari penamaan calon PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac. - Bernama