TIADA perbincangan untuk Malaysia menarik diri sebagai tuan rumah saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, setakat ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneruskan segala persiapan penganjuran acara itu dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Katanya, ketetapan prosedur operasi standard (SOP) juga masih kekal, antaranya kehadiran penonton ke stadium tidak melebihi daripada 50 peratus kapasiti, penjarakan fizikal serta larangan makan dan minum di dalam stadium.
"Saya berharap agar orang ramai kekal menjaga SOP dan memperketatkan SOP secara kendiri supaya kita dapat melawan penularan wabak Covid-19 dan segala aktiviti sukan dapat diteruskan, ia cukup penting,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Datuk Shukor Salleh bertajuk"Jeneral Padang” di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, pada Jumaat.
Ahmad Faizal turut bimbang jika berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 yang berpotensi memberi impak negatif kepada sektor sukan, antaranya segala kebenaran aktiviti mungkin terpaksa ditarik balik.
Pada pusingan kelayakan itu yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-154 dunia akan dicabar dua pasukan pada ranking lebih baik iaitu Bahrain (89) dan Turkmenistan (134), selain Bangladesh (186).
Skuad kendalian Kim Pan Gon itu akan memulakan kempen dengan bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, sebelum berdepan Bahrain (11 Jun) dan aksi terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.
Sementara itu, Ahmad Faizal menyifatkan peluang beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada pasukan negara dalam misi menamatkan kemarau 42 tahun layak ke Piala Asia secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
"Tentunya kalau bermain di laman sendiri dan beraksi di hadapan penyokong sendiri semangat pasukan lebih berbeza, lebih kuat, maka memberi kelebihan kepada kita, jadi saya harap pasukan akan capai kejayaan nanti,” katanya. - Bernama