Solat jemaah di masjid, surau Pulau Pinang masih guna SOP sedia ada

Iklan
Pulau Pinang masih mengekalkan SOP sedia ada berhubung solat jemaah di masjid atau surau di negeri itu.

GEORGETOWN- Pulau Pinang belum bercadang untuk meminda prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berhubung mewajibkan jemaah mengambil suntikan lengkap vaksinasi Covid-19 untuk menunaikan solat di surau dan masjid.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Pulau Pinang masih mengikut SOP seperti sebelum ini yang mana jemaah perlu melengkapkan dua dos vaksin untuk bersolat di masjid atau surau.

"Setakat ini, kerajaan negeri masih belum mempertimbangkan perkara itu. Kita masih mengikut SOP yang sebelum ini iaitu hanya mereka lengkap dua dos vaksin dibenarkan menunaikan solat di masjid atau surau.

Iklan

"Tiada perubahan SOP setakat ini namun ia mengikut kemas kini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Selangor hanya membenarkan jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu bermula 25 Februari.

Iklan

Arahan itu berdasarkan ketetapan terkini diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.

Langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19.

Pada 26 November tahun lalu, Pulau Pinang telah membenarkan semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau diadakan secara bersemuka, namun jemaah perlu melengkapkan dua dos vaksinasi.

Antara aktiviti pengimarahan yang dibenarkan merangkumi majlis rasmi dan aktiviti sosial seperti aktiviti ceramah agama, kelas pengajian, mesyuarat jawatankuasa, majlis akad nikah, jamuan makan dan program gotong-royong.

Selain itu, jemaah juga perlu memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruang masjid.