JOHOR BAHRU - Golongan profesional dan aktivis masyarakat antara calon yang dipertaruhkan Parti Warisan bagi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kesemua senarai calon yang akan bertanding di enam kerusi itu juga melalui proses tapisan selain memenuhi kriteria utama iaitu telah menjalankan khidmat bakti di kawasan masing-masing.
"Calon-calon yang kita tawarkan adalah anak tempatan yang juga golongan profesional. Ada peguam, ada ahli perniagaan dan berpengalaman. Mereka ini juga ada visi serta hasrat untuk bekerja keras sekiranya dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.
"Ada juga yang merupakan mereka berpengalaman dalam politik dan telah berkhidmat lama di kawasan itu.
"Kita mahu bersikap realistik pada PRN Johor itu sebab kita meletakkan jumlah ini kerana sasaran utama kita adalah bersiap sedia sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan kesemua enam calon Warisan yang akan bertanding pada PRN Johor di sebuah hotel di bandar raya ini di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Warisan, Suhaimi Salleh.
Pada majlis berkenaan, Mohd Shafie mengumumkan Warisan telah membuat keputusan untuk bertanding di DUN Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Bukit Batu, Johor Jaya dan Permas.
Calon-calon dipilih adalah Hishamuddin Busri, 50, (Pekan Nenas); A Sandra Segaran, 54, (Bekok); Chen Hain Kai, 53, (Johor Jaya); Mohamed Noor Suleiman, 61, (Mahkota); Lee Ming Wen, 38 (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu, 54 (Permas).
Shafie berkata, walaupun hanya bertanding enam kerusi pada PRN Johor, ia tidak memberi maksud parti itu tidak menerima sebarang sambutan atau sokongan kerana PRN Johor hanyalah medan ujian untuk mengukuhkan kestabilan parti itu sebelum menjelang PRU15.
"Kita menerima banyak tawaran sebenarnya, ramai yang mahu menyatakan kesediaan mereka untuk bertanding tetapi hasrat utama kita adalah untuk membina semula negara.
"Jadi bakat-bakat dan keupayaan mereka ini kita simpan dahulu untuk bersedia bagi Parlimen pada PRU akan datang.
"Sasaran utama kita kini juga adalah untuk bersama rakyat bukan mana-mana parti," katanya.