TEMERLOH - Penternak ayam kontrak di negeri ini menyambut baik pemberian subsidi harga ayam hidup sebanyak 30 sen setiap kilogram (kg) yang diberi kerajaan terhadap golongan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Melayu Pahang, Jamaluddin Abd Ghani memberitahu, subsidi itu adalah sesuatu yang sudah lama dinantikan oleh penternak untuk mengatasi kenaikan harga dedak dan bahan ternakan.
"Pihak persatuan memanjatkan rasa syukur kepada ALLAH SWT berikutan penerimaan subsidi ini.
"Saya juga mewakili pihak persatuan ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di atas usaha membantu penternak, khususnya penternak kontrak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pemberian subsidi itu juga dapat membantu penternak yang terkesan akibat banjir pada Januari 2021 dan Disember tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi persatuan, Noorhayati Ismail turut menghargai keprihatinan kerajaan terhadap masalah semasa yang dihadapi mereka.
"Pemberian subsidi ini merupakan subsidi kedua yang pernah diterima oleh penternak selepas 12 tahun dahulu. Pada tahun 2010 pemberian subsidi 20 sen pernah diberikan kepada golongan yang sama.
"Ia juga dilihat akan menjadi pemangkin semangat untuk penternak terlibat kekal produktif membekalkan ayam segar bagi keperluan tabung makanan negara," tambahnya.
Sementara itu, pihak persatuan turut berharap subsidi itu dapat diteruskan untuk satu jangka masa yang lebih lama bagi mengimbangi kenaikan harga dedak.
"Ia kerana harga dedak yang ditawarkan belum ada subsidi kerajaan untuk menstabilkan harga ternakan," jelasnya.
Pada 9 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.
Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan persoalan sama ada subsidi itu akan turut disalurkan terhadap syarikat integrator atau penternak kontrak.
Kerajaan kemudian memperincikan subsidi yang diberi itu dengan menetapkan penternak kontrak, integrator dan semi integrator menerima subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap kilogram ayam hidup.