'Tiada manifesto, janji wakil rakyat berkredibiliti'

Iklan
Shafie ketika berucap sebelum mengumumkan enam calon Warisan yang akan bertanding pada PRN Johor dalam satu majlis di sebuah hotel di Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan parti itu tidak akan mempromosikan sebarang janji atau manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata, perkara itu berikutan parti melihat pelaksanaan PRN Johor berlaku dalam satu tempoh masa yang singkat.

Iklan
Iklan

"Kita rasa tidak perlu manifesto kerana PRN Johor ini adalah satu pilihan raya yang singkat. Kita tiada masalah kerana apa yang kita boleh buat secara realistik adalah kita tampilkan calon-calon berkualiti.

"Kita juga akan perjuangkan bahawa calon-calon yang kita tampilkan ini adalah mereka yang bersedia dan mahu berkhidmat kepada rakyat. Mereka juga akan bertindak sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran negeri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon Warisan yang akan bertanding pada PRN Johor dalam satu majlis di sebuah hotel di bandar raya ini di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Warisan, Suhaimi Salleh.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan Warisan akan bertanding sebanyak enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor melibatkan DUN Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Bukit Batu, Johor Jaya dan Permas.

Shafie berkata, parti juga tidak melihat sebarang masalah walaupun bertanding dengan jumlah yang sedikit kerana apa yang ingin dicapai kini adalah usaha untuk mewujudkan pilihan lain kepada rakyat yang sudah muak dengan politik.

"Kita mahu ada satu pembangkang yang kuat dan wakil di DUN Johor. Mereka ini akan menjadi ejen semak dan imbang kepada kerajaan ditadbir agar tidak berlaku lagi ketirisan atau penyelewengan.

"Tidak semestinya kena ada suara lantang (jumlah wakil rakyat ramai) tetapi kandungan suara itu dan nilai dan disiplin. Ertinya kita mahu suara kita sama lantang sama ada di Parlimen atau dewan negeri.

"Semua secara konsisten, walaupun kita kecil tidak bererti suara itu tidak kedengaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan parti mengekalkan pendiriannya sebagai pilihan lain dalam PRN Johor dengan hanya mahu membawa semangat bekerja demi rakyat serta tidak akan bergantung kepada parti politik lain.

"Kerjasama dengan parti politik ini bila dia tekan butang, susah kita. Sampai bila keadaan ketidakstabilan negara ini perlu diheret. Keadaan di Melaka, semua lawan antara satu sama lain, bila habis PRN boleh duduk sama-sama di Putrajaya.

"Ke mana mereka (parti politik) mahu bawa negara ini, kali ini di Johor gaduh hari-hari, UMNO jangan undi Bersatu, Bersatu jangan bantu UMNO, apa sebenarnya yang mereka buat.

"Jadi kita tidak akan terikat dengan apa sahaja tawaran atau imbuhan," katanya.