Empat bangunan di Kuantan turut alami gegaran

Iklan
Anggota bomba membuat pemantauan di salah sebuah bangunan yang mengalami gegaran pada 9.40 pagi Jumaat.

KUANTAN - Empat bangunan tinggi di Kuantan turut mengalami gegaran susulan gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pagi Jumaat.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.40 pagi itu mengundang rasa cemas orang ramai yang berada di dalam bangunan tersebut.

Iklan
Iklan

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, empat bangunan mengalami gegaran iaitu Lembaga Tabung Haji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Zenith dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang.

"Kita menerima laporan kejadian itu pada jam 9.56 pagi melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 meminta supaya melakukan pemeriksaan struktur di beberapa bangunan yang terlibat.

Iklan

"Bagi tujuan itu, kita arahkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota ke lokasi kejadian dengan kekuatan logistik dua jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, orang ramai yang berada di bangunan-bangunan terlibat didapati telah keluar dan berkumpul di kawasan yang selamat sebagai langkah keselamatan.

Iklan

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dipanggil ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya padi tadi memaklumkan gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada jam 9.39 pagi Jumaat.

Gegaran tersebut turut dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, namun tiada ancaman tsunami ke atas Malaysia, setakat ini.