PASIR GUDANG - Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) memohon maaf kepada semua petugas media atas kekeliruan berhubung insiden 'halau media' yang berlaku di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.
Exco Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, insiden berkenaan berpunca salah faham semasa majlis penyerahan bantuan bencana oleh Majlis Daerah Tangkak.
"Keadaan menjadi sedikit sesak dan tegang lantas pihak pegawai bertugas mengarahkan perkarangan tersebut dikosongkan.
"Rentetan itu, pihak pengurusan tertinggi PKOB membenarkan pengamal media masuk semula ke aras 3 Menara Aqabah untuk menjalankan tugasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sheikh Umar berkata, pihaknya berharap petugas media dapat terus membuat liputan dan melaporkan perkembangan terkini berhubung isu pencemaran berkenaan.
"Pihak kami juga menegaskan bahawa kawasan PKOB adalah kawasan larangan awam. Hanya wartawan dengan tag media yang sah sahaja dibenarkan masuk.
"Kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan, boleh menghubungi hotline 07-2522143 untuk maklumat dan penerangan lanjut," katanya.
Terdahulu media melaporkan petugas media 'dihalau' keluar selepas lebih seminggu 'berkampung' di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana (JPBB) di Menara Aqabah di sini, bagi proses pengurusan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.
Sebelum ini petugas media dibenarkan berada di dalam bangunan berkenaan malahan ada bilik khas untuk petugas media yang juga menjadi lokasi kebanyakan sidang akhbar.
Namun bermula hari ini, petugas media dimaklumkan mereka tidak lagi dibenarkan berada di dalam bangunan tersebut sebaliknya perlu berada di luar dan hanya dibenarkan untuk memasuki bangunan berkenaan jika terdapat sidang media.