SEPANG - Sepasang suami isteri tidak menyangka percutian bersama sahabat yang dikenali sejak sekolah rendah akhirnya bertukar tragedi sehingga menyebabkan mereka kehilangan dua rakan sekelip mata.
Ketika kejadian, Ong Lee Jye, 56, bersama suaminya, Pang Kim Foo, 56, sedang menikmati pemandangan indah Air Terjun Tiu Kelep di Senaru Baru, Lombok.
Beliau bersama suami menyertai 'reunion' yang dianjurkan lebih 20 rakan sekelas ketika itu sedang menikmati panorama indah di air terjun berkenaan sebelum mendengar bunyi dentuman kuat seperti bom.
"Ketika sedang mengambil gambar, tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat seperti bom sebelum melihat banyak batu besar dan kecil jatuh di kawasan tempat kami berada.
"Saya juga melihat kaki seorang rakan dihempap batu, namun kami tidak dapat menyelamatkannya kerana batu itu sangat besar,"katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa, di KLIA di sini.
Mereka merupakan antara 17 rakyat Malaysia yang terselamat dalam insiden gempa bumi yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, Ahad lalu.
Menceritakan mengenai detik tersebut, Lee Jye berkata dia juga melihat seorang rakannya, Datin Tai Siew Kim dihempap batu besar.
Menurutnya beliau turut cedera di bahagian kaki kerana dihempap batu kecil ketika sedang berlari menyelamatkan diri.
"Saya lari, dan lari untuk selamatkan diri tetapi cedera pada kaki,"katanya yang turut memaklumkan mereka sebelum itu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk tiba di kawasan air terjun itu.
Beliau turut mengakui kawasan peranginan itu mempunyai pemandangan yang sangat indah namun serik untuk ke tempat itu sekali lagi.
Datin Tai Siew Kim yang juga timbalan ketua pengarang eksekutif Sin Chew Daily, sebelum ini disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terselamat, Cheong Kim Leong, 56, berkata, walaupun menyertai reunion tersebut, namun ketika kejadian dia bersama isteri dan dua lagi saudara tidak berada di kawasan air terjun tersebut.
Ketika kejadian saya kurang sihat. Kami berada di pusat membeli belah untuk makan sebelum tiba-tiba terasa gegaran dan melihat orang sekeliling berlari dan diberitahu gempa sedang berlaku,"ujarnya.
Gempa berukuran 5.4 skala Ritcher dilaporkan melanda kawasan air terjun tersebut menyebabkan tanah runtuh di kawasan itu, pada Ahad.
Air terjun yang mempunyai ketinggian lebih kurang 45 meter itu merupakan antara pusat pelancongan yang popular di Lombok.
Dalam pada itu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri memaklumkan, Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata Wisma Putra sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan konsular kepada mangsa rakyat Malaysia yang terbabit dengan insiden luar jangka ketika berada di luar negara.
Sementara itu, jenazah warganegara Malaysia yang terkorban dalam bencana ini, mendiang Siew Kim dan mendiang Lim Sai Wah dijangka tiba di KLIA petang jam 5.10 petang dengan pesawat Garuda Indonesia GA816 serta diiringi oleh ahli keluarga.
Empat lagi mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram.