SIMPANG RENGGAM - Seramai 10 calon daripada sayap Pejuang Muda dan Pejuanita Muda merupakan golongan profesional yang bersih dan tidak terpalit dengan gejala parti-parti lama.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kesemua anak muda daripada mereka hampir 100 peratus bukan daripada parti-parti lain khususnya UMNO.
"Ada juga daripada Bersatu dahulu yang ikut kami, tetapi saya ingat tiada daripada UMNO.
"Oleh sebab itu, mereka ini bersih dan tidak terpalit dengan parti lama kami,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pejuang Muda dan Pejuanita Muda PRN Johor, di sini pada Jumaat.
Tambah Mukhriz, kebanyakan daripada anak muda yang dipilih sebagai calon PRN Johor itu ikhlas berjuang dan berkhidmat untuk rakyat.
Sementara itu, Ketua Pejuang Muda, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, calon yang dipilih bukan sahaja muka baharu tetapi berlatar belakang bidang profesional.
"Maka ini perlu untuk penglibatan mereka dalam parti politik, dalam mengubah keadaan semasa.
"Ini kerana kami sedar yang akan menjadi mangsa terbesar kepada kekusutan politik dan masalah dalam negara ini adalah kami.
"Jadi PRN Johor ini adalah platform terbaik untuk menampilkan calon-calon ini seperti mana diharapkan oleh media sosial untuk muka-muka baharu, terutama anak muda,” ujarnya