SIMPANG RENGGAM - Penamaan hanya satu calon wanita muda bagi mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan satu gambaran pengabaian untuk wanita muda.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebaliknya berkata, masih banyak perkara yang perlu diperjuangkan oleh Pejuanita Muda.
"Kalau kita kira semua sekali calon Pejuang wanita ada empat, tiga lagi adalah kurang muda tetapi yang masih berjiwa muda.
"Hanya seorang yang mewakili Pejuanita Muda, ia tidaklah seolah-olah seperti kita mengabaikan wanita muda.
"Saya yakin Pejuanita Muda boleh lakukannya walaupun seorang sahaja calon,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pejuang Muda dan Pejuanita Muda PRN Johor, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pejuanita Muda, Nurul Ashikin Mabahwi berkata, walaupun hanya menghantar satu calon wanita muda bukan bermaksud parti meminggirkan peranan mereka.
"Kita rasa sudah menampilkan satu calon yang sangat berbakti dan bebas daripada segala salah laku sama ada jenayah atau rasuah.
"Ini kerana kebanyakan daripada calon muda terutama calon Pejuanita Muda, ini adalah parti yang betul-betul mereka aktif,” katanya.
Jelas Nurul Ashikin, calon Pejuanita Muda yang ditampilkan sangat berkualiti dan merupakan anak tempatan.
"Dia bukan akan jadi yang berhormat tetapi yang akan berkhidmat untuk DUN itu dan penduduk di kawasan itu.
"Insya-ALLAH kami yakin calon yang kami naikkan ini akan memberikan yang terbaik kepada semua,” katanya.