PEMAIN badminton beregu campuran profesional Goh Liu Ying tidak sabar untuk beraksi bersama pasangan baharunya, Ong Yew Sin setelah lebih sedekad bergandingan dengan Chan Peng Soon.
Walaupun baru sebulan bergandingan, Liu Ying mengakui beliau seronok menjalani sesi latihan bersama Yew Sin bagi menghadapi Terbuka Jerman di Muelheim An Der Ruhr pada 8 hingga 13 Mac ini.
Menyusul selepas itu adalah penyertaan mereka dalam acara badminton tertua di dunia Kejohanan Seluruh England di Birmingham, pada 16 hingga 21 Mac.
Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu berkata mereka tidak menetapkan sebarang sasaran untuk kedua-dua kejohanan Eropah tersebut, memandangkan matlamat mereka adalah untuk mengukuhkan persefahaman dan prestasi di atas gelanggang terlebih dahulu.
"Tiada janji apa-apa lagi, yang penting bina persefahaman dan prestasi,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Liu Ying, yang akan berlepas ke Eropah pada 5 Mac ini, memberitahu mereka memerlukan masa untuk lebih serasi sebelum boleh menjadi antara beregu campuran terbaik.
Yew Sin-Liu Ying akan memulakan saingan Terbuka Jerman berdepan beregu Scotland Adam Hall-Julie MacPherson, manakala Callum Hemming-Jessica Push dari England menanti pasangan Malaysia itu pada pusingan pertama Seluruh England.
Disember lalu, Liu Ying menamatkan kolaborasi bersama pasangan beregunya selama 13 tahun Peng Soon dengan pencapaian terbaik mereka adalah memenangi pingat perak di Olimpik Rio 2016.
Peng Soon telah bergandingan dengan Valeree Siow dan beregu itu membuat penampilan sulung pada Terbuka India baru-baru ini dengan pencapaian setakat suku akhir, selepas tewas 14-21, 13-21 kepada pilihan kedua Rodion Alimov-Alina Davletova dari Rusia.
Sementara itu, Yew Sin akan meneruskan gandingan bersama Teo Ee Yi dalam kategori beregu lelaki. Yew Sin-Ee Yi meraih gangsa pada Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol hujung tahun lalu.