SIMPANG RENGGAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak berhasrat berunding dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), susulan pertembungan kedua-dua parti itu di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu tidak menjangka Muda akan bertanding di kawasan pengundi Melayu, sekali gus menyaksikan pertembungan antara dua parti baharu itu.
"Kita sebenarnya tiada apa-apa masalah dengan Muda, tetapi daripada awal lagi kami berpendirian kami mahu bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
"Kita tidak sangka yang Muda juga minat kerusi-kerusi seperti itu (pengundi Melayu), kerana kita ingatkan fokus Muda lebih kepada kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya selepas melancarkan Jentera Sayap Pejuang Muda dan Pejuanita Muda sempena PRN Johor di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, Mukhriz berkata, parti itu menerima hakikat bahawa sesiapa boleh menampilkan calon pada PRN Johor dan akan berlaku pertembungan, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Tujuh kerusi yang menyaksikan pertembungan antara kedua-dua parti yang buat pertama kali bertanding pada PRN Johor adalah DUN Tenang, Parit Raja, Machap, Larkin, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Bukit Kepong.Sebelum ini, Mukhriz mengakui Pejuang sedang mengadakan perbincangan untuk menjalinkan kerjasama bersama Muda, pada PRN Johor kali ini.
Mengulas mengenai pertukaran calon Pejuang bagi DUN Endau, Zaini Tahar, Mukhriz berkata, ia adalah permintaan sendiri Zaini selepas beliau disahkan positif Covid-19, kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kempen PRN Johor.
"Kita pun sedar jika positif Covid-19 kena kuarantin tujuh hingga 10 hari. Jadi calon tidak dapat berjumpa dengan pengundi sendiri,” katanya.
Zaini telah digantikan oleh Mohd Noorhisyam Ibrahim di kerusi berkenaan.
Esok adalah hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala pengundian pada 12 Mac. - Bernama