Calon PN jangan cemar sistem demokrasi: Khairil Nizam

Iklan
Khairil Nizam

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan tidak mencemarkan sistem demokrasi negara dengan budaya politik samseng, korupsi dan tidak bermaruah.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, kesemua mereka perlu berakhlak dan menggunakan peluang sebaiknya.

Iklan
Iklan

"Kepada kesemua calon yang akan bertanding kelak, bertandinglah dengan budi dan akhlak yang luhur menggunakan ruang dan peluang yang diberi melalui jalan demokrasi ini.

"Jangan kita cemari lunas demokrasi ini dengan budaya politik samseng, korup dan tidak bermaruah yang akan memecahbelahkan keharmonian di Johor," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara itu turut mendakwa PN berjaya mendahului fasa pertama PRN Johor dengan membariskan senarai calon yang profesional, berpendidikan dan berpengalaman.

Jelasnya, semua calon parti perlu mempunyai niat baik bagi membentuk kerajaan berintegriti dan berjasa untuk agama, bangsa serta negara.

Iklan

"Alhamdulillah PN telah mendahului fasa pertama PRN Johor dengan membariskan senarai calon yang profesional, berpendidikan dan berpengalaman di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

"Selamat maju jaya dan selamat berjuang buat rakan-rakan yang terdiri daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)," ujarnya.

Khairil Nizam juga berharap rakyat Johor dapat menilai dengan matang dan bijaksana mengundi calon sesuai.

"Ayuh, bersama Perikatan Nasional kita membentuk sebuah kerajaan negeri yang prihatin dan berkebajikan dengan asas integriti dan ketelusan. Demi masa depan bangsa Johor, undilah Perikatan Nasional,” katanya.