PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan tiga mata diraih The Gunners ke atas Wolverhampton merupakan motivasi penting untuk kelab London tersebut dalam memperkukuhkan pemburuan kedudukan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah menurut pengendali dari Sepanyol itu, kemenangan ke-14 liga itu juga adalah hasil kematangan karakter dalam kalangan pemain Arsenal dalam berdepan gaya permainan bertahan pelawat selepas mendahului tuan rumah.
"Ia adalah kemenangan penting bagi kami dalam pemburuan slot empat terbaik liga. Cara kami memenangi perlawanan ini sebenarnya mewujudkan kepercayaan, kebersamaan, suasana dan perpaduan dengan peminat kami juga dan itu amat diperlukan.
"Harus diingat selalu bahawa ini adalah merupakan skuad yang sangat muda dalam saingan liga musim ini dan kami sememangnya amat memerlukan sokong padu secara berterusan.
"Selepas tiga kekalahan dalam tiga perlawanan pertama kami terpaksa mengelak penyingkiran. Itu adalah sasaran pertama, kemudian kami mengambilnya dari perlawanan demi perlawanan... anda hanya perlu konsisten dengan visi anda dan cara anda membuat persediaan dan percaya keputusan akan datanglah,” katanya.
Kemenangan ke atas Wolves menyaksikan Arsenal mengumpul 45 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.
Arsenal sebelum itu melakukan kebangkitan dramatik luar biasa lewat perlawanan untuk menewaskan Wolverhampton 2-1 dalam aksi di Stadium Emirates.
Bagaimanapun Wolves kendalian Bruno Lage terlebih dulu bermula garang apabila mendahului menerusi Hwang Hee-Chan pada minit ke-10 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, anak buah Mikel Arteta kembali memperkemaskan permainan mula mengasak kubu lawan bagi mencari gol penyamaan, namun Wolves tampil corak bertahan ampuh menggagalkan usaha deretan para pemain tuan rumah.
Gol penyamaan The Gunners dijelmakan apabila pemain gantian, Nicolas Pépe menterjemahkan hantaran Eddie Nketiah dalam bentuk jaringan 82'.
Jaringan itu ternyata menjadi dos penggalak untuk rangkaian para penyerang The Gunners menggempur benteng lawan menyaksikan percubaan Alexander Lacazette terbias penjaga gol pelawat, Jose Sa pada minit ke-95'.