JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor menukar calon di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat sehari sebelum penamaan calon pada Sabtu ini.
Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, pertukaran itu bagi membolehkan BN menampilkan calon terbaik bagi memenuhi hasrat pengundi dan orang muda.
"DUN Sungai Balang dan Tanjung Surat masing-masing dalam Parlimen Muar dan Pengerang. Di Sungai Balang, kita perlu fikirkan kehendak pengundi memohon wakil rakyat lelaki selepas sekian lama wakil rakyat wanita di sana.
"Bagi Tanjung Surat pula, calon tersebut sudah tiga penggal berkhidmat sebagai ADUN dan sudah berusia 69 tahun. Saya rasa pengalaman ini cukup penting tetapi lebih kuat saya melihat suara orang muda juga perlu didengar," katanya pada Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian di Hotel Grand Paragon di sini pada Jumaat.
BN pada Khamis membuat pengumuman calon melibatkan 56 kerusi membabitkan 37 kerusi untuk UMNO, 15 MCA dan empat daripada MIC.
Sebelum itu, Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Fadzmel Fadzil dilaporkan berkata, calon baharu dipertaruhkan bagi DUN Tanjung Surat ialah Aznan Tamin.
Aznan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang diberikan watikah pencalonan menggantikan Datuk Syed Sis Abd Rahman.
Pertukaran calon bagi DUN Sungai Balang masih belum dimuktamadkan namun Selamat Takin disebut akan menggantikan Mohd Helmi Abd Latif.