JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor bersikap matang dalam menyelesaikan pembahagian kerusi bersama rakan komponen sekali gus menafikan berlakunya pertikaian dengan MCA.
Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah kerusi yang diberi kepada MCA tetap sama ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu 15 kerusi, biarpun tiada kerusi yang dimenangi MCA.
"Pada majlis pengumuman calon di Ibu Pejabat UMNO Johor pada Khamis, calon MCA tidak diumumkan. Saya tidak kata ada pertelingkahan.
"Terdapat cadangan bagi agihan kerusi ini. Pada PRU14 lalu, terdapat dua kerusi yang diberikan kepada Parti Gerakan Malaysia
(Gerakan). Maka BN perlu membuat penilaian terbaik bagi kerusi yang akan ditandingi itu. Akhirnya UMNO mengambil semula dua kerusi itu.
"Pada PRU14, MCA bertanding 15 kerusi dan tidak menang satu pun. Bagaimanapun BN Johor tidak mengurangkan jumlah kerusi ini," katanya ketika Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian di Hotel Grand Paragon di sini pada Jumaat.
Pada PRU14, Gerakan yang bertanding atas tiket BN di kerusi DUN Pemanis dan Bukit Batu kalah di kedua-dua kerusi dan mengumumkan daripada BN pada 23 Jun 2018.
Pada Khamis, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan 14 daripada 15 calon parti yang bertanding pada PRN Johor.
Majlis pengumuman itu dilakukan di sebuah hotel di Johor Bahru pada sebelah petang selepas BN membuat pengumuman calon di Ibu Pejabat UMNO Johor pada pagi Khamis.
Calon MCA terdiri daripada gandingan muka lama dan baharu iaitu See Ann Giap bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Tan Chong (Bekok), Ong Chee Siang (Tangkak), Gan Qi Ru (Bentayan), Ling Tian Soon (Yong Peng) dan Ter Hwa Kwong (Penggaram).
Kelly Chye Pei Yee pula bertanding di DUN Mengkibol, Lee Ting Han (Paloh), Chan Shan Shan (Johor Jaya), Ang Boon Heng (Stulang), Tan Hiang Kee (Perling), Lim Soon Hai (Skudai), Shen Poh Kuan (Senai) dan Tan Eng Meng (Pekan Nenas).
Bagaimanapun, calon parti itu bagi DUN Puteri Wangsa masih belum dimuktamad.