PRN Johor: Majoriti parti sudah umum calon, rakyat pilih yang terbaik

Iklan

[DIKEMAS KINI] MAJORITI parti politik telah mengumumkan senarai calon yang akan dipertaruhkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula hari ini.

Pelbagai kriteria, latar belakang telah diketengahkan bagi memastikan calon dari sesebuah parti tersebut dapat menawan dan seterusnya menarik undi daripada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Iklan
Iklan

Antara parti yang telah selesai mengenengahkan calon mereka adalah Barisan Nasional (BN) melibatkan parti UMNO yang bakal bertanding di 37 kerusi DUN, MCA (15 kerusi) dan MIC (empat kerusi).

Selain itu, turut bertanding di semua kerusi PRN Johor adalah parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 33 kerusi, Pas 15 kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) lapan kerusi.

Iklan

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada jumlah itu 41 calon muka baharu manakala 15 lagi bertanding semula dengan 19 calon berusia bawah 40 tahun.

Dari segi kelayakan akademik pula, ada yang merupakan doktor, bekas guru, usahawan dan pensyarah.

Iklan

Seterusnya, bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH), mereka mempertaruhkan 20 calon yang bakal bertanding di kerusi DUN PRN Johor dengan menggunakan logo sendiri.

Dalam masa sama, Parti Amanah Negara (Amanah) juga telah menyenaraikan 16 calon dari parti itu pada 18 Februari lalu manakala DAP sebanyak 14 calon bertanding dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hanya enam kerusi.

Tidak ketinggalan, parti yang dikira baru ditubuhkan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan akan bertanding di 42 kerusi sahaja.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan hanya bertanding 42 daripada 56 kerusi DUN Johor pada PRN bulan depan, dibuat berasaskan kehendak rakyat dan kesesuaian komposisi pengundi.

Tambah beliau, parti itu mengambil kira beberapa faktor seperti sesetengah kerusi DUN tidak sesuai dengan parti tersebut.

Parti Warisan (Warisan) pula mengumumkan akan bertanding enam kerusi iaitu Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Jelas beliau, dengan bertanding di PRN Johor, ia merupakan sebagai persediaan parti bertapak di semenanjung dan calon dikemukakan adalah berkelayakan dan terbaik.

Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut mengambil peluang dengan meletakkan empat calon, termasuk Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon untuk bertanding di PRN Johor.

Calon-calon tersebut akan membawa aspirasi berasaskan enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan pembabitan golongan muda, memperkasa peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi dan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

Oleh itu, rakyat Johor diharapkan dapat membuat pilihan yang bijak bagi memastikan kestabilan politik dapat dibina dan seterusnya menjadikan negeri tersebut lebih maju ke hadapan.