PAGOH - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Md Taib Md Suhut merupakan calon pertama yang hadir untuk proses penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Sabtu.
Md Taib berbaju Melayu putih hadir pada jam 7.50 pagi diiringi pencadang dan penyokong di Dewan Karisma, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh.
Calon Perikatan Nasional (PN) yang merupakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kemudiannya hadir pada jam 8.36 pagi.
Sahruddin yang berbaju Melayu biru hadir bersama pencadang dan penyokongnya.
Calon Barisan Nasional (BN) Ismail Mohamed pula hadir pada jam 8.41 pagi ditemani pencadang dan penyokongnya.
Pertama kali bertanding dalam pilihan raya, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Nurafiqah M Zulkifli pula hadir bersama pencadang dan penyokongnya pada jam 8.54 pagi.
Bagaimanapun, tiada kelibat calon Bebas bertanding dalam DUN Bukit Kepong.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Kepong, Rahaman @Abdul Rahman Selamat kemudiannya mengumumkan penutupan serahan borang penamaan calon pada jam 10 pagi.