SEREMBAN - Sebanyak 54 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Negeri Sembilan dikenal pasti tidak berdaftar dan beroperasi secara tidak sah.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, daerah Seremban mencatatkan jumlah taska tidak berdaftar paling tinggi iaitu sebanyak 47 taska, manakala Kuala Pilah dan Port Dickson masing-masing dua taska.
Menurutnya, berdasarkan rekod JKM hingga bulan lalu, terdapat 158 taska yang berdaftar di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 di Negeri Sembilan.
"Sebanyak 111 daripadanya beroperasi di daerah Seremban.
"Setiap tahun JKM mengadakan Kempen Jom Daftar Taska dan sedia membantu pihak pengusaha taska untuk mendaftar.
Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana taska itu ditubuhkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu katanya, demi keselamatan anak-anak, ibu bapa dinasihatkan supaya memilih taska yang berdaftar.
Katanya, ini kerana JKM dan agensi teknikal lain telah membuat pemantauan dan memastikan taska tersebut selamat dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan.
Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri jam 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik.
Taska berkenaan juga disahkan tidak berdaftar dengan JKM.