5 penjuru di DUN Endau, UMNO tuntut semula kerusi kontroversi

Iklan
Pengumuman penamaan calon di DUN Endau di Dewan Serbaguna Endau pada Sabtu.

MERSING - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di bawah Parlimen Mersing menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Penyandang kerusi tersebut yang sebelum ini mewakili UMNO, Alwiyah Talib dari Perikatan Nasional (PN) akan dicabar oleh Ketua Bahagian UMNO Mersing, Mohd Youzaimi Md Yusof yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

Tiga lagi calon turut bertanding di kerusi tersebut ialah Mohamad Fakrulradzi Mahmud mewakili Pakatan Harapan (PH), Mohd Noorhisyam Ibrahim (Pejuang) dan Ismail Don (Bebas).

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Endau, Muhammad Shahril Abd Gapar selepas selesai melaksanakan proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Endau, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Alwiyah yang bertanding atas tiket BN berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,080 sebelum bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua hari selepas pilihan raya itu diadakan.

Mohd Youzaimi ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon berkata, kerusi DUN tersebut sememangnya merupakan kubu kuat BN di dalam negeri Johor sebelum Alwiyah bertindak lompat parti untuk menyertai kerajaan ketika itu.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi BN Mersing turut menyatakan keyakinannya terhadap sokongan pengundi tersebut yang disifatkan masih berpihak kepada BN.

Beliau turut yakin bahawa jenteranya di kawasan tersebut telah melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi PRN kali ini.

"Selepas PRU14, kita punya cara kerja bukan berdasarkan masa pilihan raya sahaja, kita kerja dari awal waima sebelum PRN lagi.

"Kita ada PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang telah bekerja daripada awal. Jadi tidak ada masalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Alwiyah berkata, beliau yakin bahawa rekod perkhidmatannya selama tiga tahun di kawasan tersebut dapat dinilai sendiri oleh rakyat di kawasan tersebut.

"Mereka menerima apa yang saya laksanakan. Satu soal integriti dan tentang kebajikan yang menjadi keutamaan saya," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pengundi juga kini dilihat sudah berubah dan lebih bijak dalam membuat pilihan serta tidak lagi bergantung kepada lambang parti.

"Saya tak yakin sentimen logo akan jadi masalah besar untuk mempertahankan kerusi.

"Kami dah menerangkan program bersama mereka selama tiga tahun lalu menerusi misi dan visi di bawah PN. Mereka tiada masalah untuk sokong PN," ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac ini dengan pengundian awal berlaku pada 8 Mac depan.