PAGOH - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong Ismail Mohamed kembali bertanding bagi memperoleh peluang untuk terus berkhidmat di kawasan itu setelah melihat banyak projek terbengkalai selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.
Ismail berkata, antara projek terbengkalai itu adalah dari segi pembangunan modal insan, perumahan dan program bantuan untuk orang miskin.
"Jadi, saya perlu kembali berkhidmat di DUN Bukit Kepong untuk meneruskan usaha-usaha yang pernah dilakukan.
"Saya tidak sampai hati melihat usaha-usaha membangunkan orang-orang miskin dan modal insan untuk masyarakat DUN Bukit Kepong tergendala,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon di Dewan Karisma, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), pada Sabtu.
DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Ismail, Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN); Nurafiqah M Zulkifli (Muda) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang).
Mengulas lanjut, Ismail berharap masyarakat di DUN Bukit Kepong memberi peluang kepadanya untuk kembali berkhidmat.
"Saya ingin meneruskan usaha-usaha pernah dirancang yang telah terbengkalai. Saya juga mahu membantu masyarakat Felcra,” katanya.
Mengulas mengenai Sahruddin, beliau menyifatkan ia merupakan pertandingan sihat.
"Saya serahkan kepada masyarakat kerana saya dan Sahruddin masing-masing ada pengalaman bertanding,” katanya.
Sebelum ini Ismail pernah memenangi kerusi Bukit Serampang (DUN Bukit Kepong) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti 7,845 undi.