KUALA KRAI - Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai ke Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris untuk mengalih sampannya, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, Muhammad Ishak, 70, didakwa ke pengkalan berkenaan pada jam 5 petang untuk mengikat sampan miliknya akibat air naik namun selepas dua jam, dia masih belum pulang.
Suzaimi berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa iaitu Ahmad Azhari Mohamad pada jam 10.10 malam Jumaat.
"Pada jam 7.30 malam, anaknya ke pengkalan tersebut dan mendapati motosikal dan barang-barang milik ayahnya seperti selipar juga masih berada di tepi sungai namun mangsa tiada," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa juga difahamkan mempunyai komplikasi jantung dan baharu sahaja keluar dari hospital hujung tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Nurul Alfisyahrin Mhd Zaki berkata, selepas menerima panggilan jam 8.40 pagi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang terdiri daripada anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa digerakkan ke lokasi tersebut.
Katanya, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) berkenaan juga turut melibatkan khidmat unit anjing pengesan (K9) JBPM.
Beliau berkata, operasi semasa ketika ini adalah secara 'water surface resque' bersama penduduk sekitar kampung berkenaan.