SHAH ALAM - Kartunis Zunar menggesa rakyat Johor keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Mac depan melalui animasi di media sosialnya.
Berdasarkan animasi yang dicipta berdurasi 51 saat tersebut, gesaan itu dibuat bagi memastikan kerajaan yang dibentuk terdiri dari ahli politik yang bebas rasuah.
Jelasnya, semakin ramai pengundi tidak menjalankan tanggungjawab, lebih tinggi peluang untuk perasuah menang dan membentuk sebuah kerajaan.
Ia seterusnya akan mengakibatkan gejala rasuah semakin berleluasa kemudian membawa kepada kenaikan harga barang yang mendadak.
"Kalau kau tidak mengundi, perasuah akan menang dan jadi kerajaan. Akibatnya rasuah makin banyak, harga barang makin naik,” katanya dalam video berkenaan.
Mengulas lanjut, berdasarkan video tersebut, apabila rasuah semakin meningkat, ekonomi negara turut merudum dan mengakibatkan inflasi meningkat.
Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 239 calon akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor, 12 Mac ini.
Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah berkenaan berdasarkan rekod sebaik selesai tempoh penamaan calon kira-kira jam 10 pagi.
Beliau berkata, PRN Johor juga akan menyaksikan penglibatan 10 parti politik dan 16 calon bebas merangkumi 202 calon lelaki dan 37 calon wanita.