HULU TERENGGANU - Pasangan pengantin baharu terpaksa membatalkan hasrat untuk bersanding setelah kediaman pengantin perempuan di Kampung Matang, di sini, dinaiki air.
Majlis akad nikah Zaleha Ahamad, 25, bersama pasangannya, Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah, 26, juga ditukarkan ke Masjid Kampung Matang yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) daripada rumah pengantin perempuan.
Zaleha berkata, majlis perkahwinannya menjadi kenangan tidak dapat dilupakan kerana dia terpaksa mengharungi banjir sedalam 0.5 meter memakai busana pengantin untuk ke masjid.
Katanya, kediamannya dinaiki air melebihi satu meter sejak Jumaat namun majlis perkahwinan terpaksa diteruskan dan tidak boleh ditunda kerana persiapan dilakukan sejak sebulan lalu.
"Sebenarnya kami merancang akad nikah dan bersanding di rumah namun terpaksa dibatalkan kerana rumah dinaiki air.
"Walaupun agak terkilan, saya bersyukur kerana majlis perkahwinan tetap berjalan dan perkara wajib (akad nikah) saya dan pasangan selamat dijalankan di masjid kira-kira jam 11 pagi tadi," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Sabtu.
Zaleha berkata, mereka tidak menyangka hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan air sungai melimpah sehingga naik ke kawasan rumah.
"Biasanya pada bulan Februari, musim tengkujuh sudah berlalu dan keadaan cuaca beransur pulih. Sebab itulah kami memilih untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh ini.
"Tak sangka pula hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir di kawasan ini," katanya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik.
Bagaimanapun, Zaleha bersyukur kerana 150 tetamu yang diundang masih hadir memeriahkan majlis perkahwinannya itu.
Katanya, khemah yang dipasang di perkarangan rumah juga dialihkan di atas jalan bagi membolehkan tetamu menjamu selera.