[VIDEO] Malaysia gesa segera selesaikan konflik Ukraine

Iklan
Ismail Sabri. - Foto: Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera menyelesaikan konflik yang berlaku di Ukraine agar dapat mengurangkan dan mencegah kehilangan nyawa serta kemusnahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada saat genting ini, setiap usaha perlu dilipatgandakan untuk mencari penyelesaian konflik secara aman dan damai melalui dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iklan
Iklan

"Malaysia amat prihatin terhadap peningkatan konflik di Ukraine dan sangat menggesa semua pihak yang berkenaan untuk segera mengambil langkah untuk mengurangkan dan mencegah kehilangan nyawa dan kemusnahan.

"Malaysia akan terus menyokong usaha tersebut demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta sebagai menggalakkan kemakmuran yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB perlu melaksanakan tugas utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Selain itu, Ismail Sabri menjelaskan, Kedutaan Malaysia di Kiev kini sedang melaksanakan pemindahan baki lapan warganegara Malaysia dan dua daripada mereka tanggungan asing dari Kiev.

Iklan

"Tiga belas daripada warganegara kita sudah pun meninggalkan Ukraine dalam beberapa minggu lalu,” ujarnya.